Pentingnya Adab

Oleh: Arief B. Iskandar (Khadimul Maahad/Majlis An-Nahdhah)

Suatu ketika Imam Yahya bin al-Qaththan, setelah melaksanakan solat fardhu Asar, bersandar di bawah menara masjid beliau. Di sekitar beliau ada Ali bin al-Madini, asy-Syadzakuni, Amru bin Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Main serta ulama lain yang ingin berguru dengan beliau. Mereka berdiri hingga menjelang solat fardhu Maghrib.

Saat itu Imam Yahya bin al-Qaththan tidak meminta mereka untuk duduk. Disebabkan itu mereka pun enggan duduk dalam rangka menghormati guru (Al-Jami’ al-Akhlaq ar-Rawi wa Adab as-Sami’, hlm. 78).

Begitulah cara ulama terdahulu menghormati guru mereka. Mereka tetap memilih berdiri meski dalam waktu yang cukup lama, sebelum si guru mempersilakan mereka duduk.

Di waktu yang lain, Imam al-Fara’—seorang ulama Kufah yang paling pandai dalam ilmu nahu dan sastera—diminta oleh Khalifah Makmun untuk mengajarkan ilmu nahu untuk kedua puteranya. Ketika beliau selesai mengajar dan beranjak untuk pergi, kedua anak Khalifah itu berebut untuk membawakan sandal Imam al-Fara’ sebagai bentuk penghormatan mereka kepada sang guru. Mengetahui hal itu, Imam al-Fara’ akhirnya meminta kepada kedua anak itu masing-masing membawa satu sandal hingga keduanya sama-sama menyerahkan sandal kepada beliau (Wafayat al-A’yan, 2/228).

Bukan hanya murid terhadap guru, adab juga seringkali ditunjukkan oleh ulama kepada ulama lainnya. Di antaranya Imam Syafie. Sebagaimana diketahui, Imam Syafie berpendapat tentang kewajipan membaca doa qunut dalam solat fardhu Subuh. Namun, Imam Syafie—seorang ulama besar sekaligus imam mujtahid—pernah beberapa kali melaksanakan solat subuh di kawasan yang berhampiran makam Imam Abu Hanifah. Saat itu ia memilih tidak melaksanakan qunut subuh dalam rangka menjaga adab terhadap Imam Abu Hanifah yang berpendapat bahawa qunut subuh tidak disyariatkan (tidak wajib) (Ad-Dahlawi, Al-Inshaf fi Bayan Asbab al-Ikhtilaf, hlm. 110).

Demikianlah, betapa para ulama besar di zaman terdahulu amat hormat kepada ulama lainnya, meski berbeza pendapat. Bahkan terhadap ulama yang sudah wafat pun adab itu tetap dijaga.

Adab yang sama ditunjukkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Selama ini beliau berpendapat mengenai kewajipan membaca basmalah (semasa membaca surah al-Fatihah) secara sirr (pelan dan hanya diri sendiri yang mendengar) dalam solat. Namun, di wilayah tertentu beliau berpendapat, “Dibaca jahr (dengan suara jelas yang boleh didengar oleh orang lain) basmalah jika berada di Madinah.”

Ibnu Taimiyah menyimpulkan bahawa Imam Ahmad kadang-kadang meninggalkan beberapa perkara sunnah demi alasan persatuan dan menghindari perpecahan. Alasannya, menyatukan hati umat lebih agung dalam agama dibandingkan dengan beberapa perkara sunnah (Risalah al-Ulfah bayna al-Muslimin, hlm. 47 dan 48)

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Qadhi Abu Uthman al-Baghdadi, meskipun termasuk ulama besar dan hakim mazhab al-Maliki, sering mengunjungi Imam ath-Thahawi yang bermazhab Hanafi untuk menyemak karya-karya beliau (Al-Maqalat al-Kautsari, hlm. 348).

Adab juga ditunjukkan oleh para ulama terhadap ilmu. Suatu saat, Imam al-Hulwani—ulama pengikut mazhab Hanafi yang menjadi imam besar di Bukhara—pernah menyampaikan, “Sesungguhnya aku memperoleh ilmu ini dengan memuliakannya dan aku tidak mengambil catatan ilmu kecuali dalam keadaan suci.”

Hal ini diikuti oleh murid beliau yang juga seorang ulama besar, yakni Imam Syamsuddin as-Sirakhsi. Suatu saat beliau mengulang wuduk pada malam hari hingga 17 kali kerana sakit perut. Hal itu beliau lakukan agar boleh menelaah ilmu dalam keadaan suci (Mukhatsar al-Fawaid al-Makkiyah, hlm. 30).

Adab dan penghargaan para ulama terhadap ilmu juga ditunjukkan oleh Al-Hafizh Muhammad bin Abdissalam al-Bilkandi, salah seorang guru Imam al-Bukhari. Suatu saat beliau menghadiri majlis imla‘ hadis. Saat Syeikh di majlis tersebut menyuruh untuk mencatat hadis, tiba-tiba pen al-Bikandi patah. Khuwatir kehilangan kesempatan untuk mencatat, beliau akhirnya mencari cara agar segera memperoleh pen. Tak lama kemudian beliau berteriak, “Saya mahu beli pen dengan harga satu dinar!” Seketika, banyak pen dihulurkan kepada beliau (Umdah al-Qari, 1/165).

Kini, satu dinar emas, jika ditukar ke ringgit Malaysia, nilainya lebih kurang RM800. Begitulah sikap Imam al-Bikandi. Dia rela kehilangan wang sejumlah itu hanya kerana beliau dapat tetap berkesempatan mencatat hadis. Tindakan beliau itu sudah pasti kerana tanda penghormatan dan penghargaannya yang luar biasa terhadap ilmu.

Adab juga ditunjukkan oleh penguasa terhadap ulama. Imam ar-Rafii suatu saat mengunjungi Sultan Khawarizmi Syah setelah tiba dari medan pertempuran. Ulama tarjih mazhab Syafie tersebut menyampaikan, “Saya telah mendengar bahawa Anda memerangi orang-orang kafir dengan tangan Anda sendiri. Saya ke sini untuk mencium tangan Anda itu.” Namun, Khawarizmi Syah menjawab, “Saya justeru yang yang ingin mencium tangan Anda.” Akhirnya, Khawarizmi mencium tangan Imam ar-Rafii (Thabaqat asy-Syafi’iyah al-Kubra, VIII/284).

Kerana begitu berharganya akhlak atau adab para ulama, ada sebuah kisah menarik terkait seorang ulama besar bernama Ibn al-Mubarak. Saat itu ia berjiran dengan seorang Yahudi. Si Yahudi merancang untuk menjual rumahnya. Datanglah seseorang yang menawar rumahnya, “Engkau mahu menjualnya dengan harga berapa?” Si Yahudi menjawab, “Dua ribu.” Si penanya berkata, “Harga rumahmu ini paling mahal seribu.” Si Yahudi menjawab, “Memang benar, tetapi yang seribu lagi untuk ‘harga’ tetanggaku, Ibnu Mubarak.” (Al-Makarim wa al-Mafakhir, hlm. 23)

Demikianlah, memiliki jiran yang baik, berakhlak dan beradab seperti Ibnu Mubarak merupakan sebuah ‘harta’ yang amat mahal bagi si Yahudi. Oleh sebab itu, dia tidak hanya menilai rumahnya yang berharga, jirannya yang baik juga memiliki harga tersendiri.

****

Mengapa begitu mulia akhlak atau adab para ulama dan para salafus-soleh pada waktu dahulu? Kata-kata Imam Ibn Qasim, salah seorang murid senior Imam Malik, barangkali boleh menjelaskan hal ini saat ia berkata, “Aku telah mengabdi kepada Imam Malik bin Anas selama 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, 18 tahun aku mempelajari adab (akhlak) dari beliau, sedangkan baki 2 tahun untuk belajar ilmu.” (Tanbih al-Mughtarrin, hlm. 12).

Bagaimana dengan kita?

Wama tawfiqi illa bilLah wa ‘alayhi tawakaltu wa ilayhi unib. []

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *